03 September 2021, Kuala Terengganu, Terengganu. Sepasukan pegawai penguatkuasa terus menjalankan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dan memantau pencemaran yang tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Kawasan rondaan telah dijalankan di daerah Kuala Terengganu dan Marang. Hasil operasi rondaan dan pemantauan ini tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan dan tiada kes-kes yang mencurigakan dan abnormal ditemui.
Siasatan aduan mengenai aktiviti perlombongan emas haram di kawasan Sungai Kerak, daerah Marang. Hasil siasatan mendapati terdapat lombong emas haram bersaiz kecil di lokasi yang diadu yang menggunakan kaedah pelong. Premis tidak beroperasi pada masa siasatan.
Aktivi perlombongan ini berpotensi melepaskan air buangan berkelodak ke alur air berikutan terletak berdekatan dengan alur air dan tidak dilengkapi dengan kolam mendapan. Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengambil tindakan sewajarnya di bawah bidang kuasa JAS dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kes ini akan turut dipanjangkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu.
Siasatan aduan ke atas kes pembakaran terbuka di kawasan Pulau Kambing didapati berasas dengan penemuan bekas pembakaran terbuka ranting dan daun kayu di lokasi yang diadu. Banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang di lokasi berkenaan dan risalah larangan pembakaran terbuka turut diserahkan kepada individu terlibat .
JAS Terengganu sentiasa mengingatkan kepada orang awam mengenai kesalahan melakukan aktiviti pembakaran terbuka. Sesiapa yang melakukan aktiviti ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A (1). Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan kompaun maksimum RM2,000.00 bagi setiap kesalahan. Tindakan mahkamah juga boleh dikenakan dengan hukuman denda maksimum berjumlah RM 500,000.00 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
JAS Terengganu juga menyeru orang ramai agar mengemukakan maklumat terperinci kejadian pencemaran dan aktiviti yang mencurigakan di bawah bidang kuasa JAS dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di portal aduan https://eaduan.doe.gov.my atau
[email protected] untuk tindakan lanjut pihak JAS.