Penerangan
4 SEPTEMBER 2021, WP KUALA LUMPUR – Pasukan penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar WP Kuala Lumpur (JAS WPKL) telah menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa premis yang beroperasi semasa Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 bagi memastikan pematuhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dipatuhi sepenuhnya.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada pelanggaran undang-undang di bawah Akta 127 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Hasil pemeriksaan di bawah Akta 342 juga mendapati pihak premis mempunyai surat kebenaran beroperasi daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI), para pekerja juga memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal, pihak premis juga ada menyediakan kemudahan seperti pengimbas suhu, buku daftar dan QR Code MySejahtera.
Pemeriksaan dan pemantauan ini dijalankan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Justeru semua pemain industri diingatkan untuk sentiasa mematuhi AKAS 1974 dan Akta 342 pada sepanjang tempoh premis beroperasi.