Penerangan
30 Ogos 2021, Kuala Terengganu, Terengganu. Hari ini pegawai penguatkuasa JAS Negeri Terengganu telah menjalankan penguatkuasaan bagi membuat verifikasi pelaksanaan amalan industri hijau ke atas kilang kelapa sawit yang beroperasi di daerah Dungun.
Hasil penguatkuasaan dan verifikasi yang dijalankan ini mendapati premis telah berjaya melaksanakan amalan industi hijau dalam operasi kilang kelapa sawit ini.
Semasa pemeriksaan dan siasatan dijalankan, pegawai penguatkuasa telah menjalankan percontohan rasmi efluen terawat di takat pelepasan terakhir premis yang telah ditetapkan dalam syarat Jadual Pematuhan yang dilesenkan oleh JAS Negeri Terengganu. Ini bertujuan untuk memastikan pematuhan keseluruhan premis terhadap syarat-syarat lesen yang ditetapkan.
Sebarang kegagalan dalam mematuhi syarat lesen mendedahkan pihak premis kepada tindakan di bawah Seksyen 16 (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM 25,000.00 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya.
Jabatan Alam Sekitar sentiasa menyokong usaha-usaha dan komitmen pihak industri dalam melaksanakan amalan industri hijau di premis masing-masing selaras dengan kehendak syarat lesen yang ditetapkan.