29 Ogos 2021, Kuala Terengganu, Terengganu. Sepasukan pegawai penguatkuasa terus menjalankan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dan memantau pencemaran serta siasat aduan mengikut arahan bertugas oleh JAS Terengganu.
Kawasan rondaan adalah di sekitar Kuala Terengganu,Rhu Muda, Kelulut, Pulau Kerengga, Merchang, Gong Balai, Rhu Batil, Kuala Abang, Bandar Dungun, Tanjung Jara, Paka dan Sura.Tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan di laluan rondaan ini dan tiada kes-kes yang mencurigakan ditemui.
Siasatan aduan kes pembakaran terbuka di Kg. Wakaf Che Hussin dan di Kg Seberang Pintasan, daerah Dungun. Kedua-dua aduan ini didapati berasas dengan penemuan kesan pembakaran terbuka di lokasi yang diadu. Banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang di lokasi kejadian. Pelaku yang telah dikenalpasti diberi amaran keras agar tidak mengulangi aktiviti ini. Kejadian ini telah menimbulkan kacau ganggu kepada penempatan dan kejiranan yang berhampiran.
JAS Terengganu sentiasa mengingatkan kepada orang awam agar peka dengan kesalahan melakukan aktiviti pembakaran terbuka. Sesiapa yang melakukan aktiviti ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A (1). Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan Kompaun maksimum RM2,000.00 bagi setiap kesalahan. Tindakan mahkamah juga boleh dikenakan dengan hukuman denda maksimum berjumlah RM 500,000.00 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
JAS Terengganu juga menyeru orang ramai agar mengemukakan maklumat terperinci kejadian pencemaran dan aktiviti yang mencurigakan di bawah bidang kuasa JAS dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di portal aduan https://eaduan.doe.gov.my atau
[email protected] untuk tindakan lanjut pihak JAS.