28 Ogos 2021, Kemaman, Terengganu. Sepasukan pegawai penguatkuasa JAS Cawangan Kemaman terus menjalankan operasi meronda bagi mencegah pembakaran terbuka dan memantau pencemaran mengikut arahan bertugas yang telah dikeluarkan oleh JAS Negeri Terengganu pada cuti hujung minggu di negeri ini.
Jajaran operasi rondaan dan pemantauan ini telah dijalankan di sekitar kawasan Bukit Mentok, Binjai, Pasir Minal, Paman, Ibok, Padang Kemunting, Bukit Anak Dara, Kijal, Kemasik, Kerteh, Mak Chili dan Desa Solehah.
Rondaan ini melibatkan kawasan penempatan premis-premis industri, kawasan perumahan di kampung-kampung dan taman-taman perumahan. Hasil rondaan dan pemantauan ini didapati tiada pembakaran terbuka ditemui dan tiada kes-kes yang mencurigakan dan abnormal ditemui.
Walau bagaimanapun pasukan penguatkuasa telah menjumpai longgokan sisa belukar di atas sebidang tanah yang telah dibersihkan di kawasan Pasir Minal. Banner larangan pembakaran terbuka yang menerangkan bahawa, sesiapa yang melakukan aktiviti ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan kompaun maksimum RM2,000.00 bagi setiap kesalahan. Tindakan mahkamah juga boleh dikenakan dengan hukuman denda maksimum berjumlah RM 500,000.00 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya.
JAS Cawangan Kemaman sentiasa memohon orang ramai agar mengemukakan maklumat terperinci kejadian pencemaran dan aktiviti yang mencurigakan di bawah bidang kuasa Jabatan ini dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di portal aduan https://eaduan.doe.gov.my atau
[email protected] untuk tindakan lanjut pihak JAS.