22 Ogos 2021, Kemaman, Terengganu. Hari ini, pegawai penguatkuasa terus komited menjalankan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Penguatkuasaan ini melibatkan kawasan penempatan industri yang berada di kawasan jajaran jalaraya yang menghubungkan Kg. Besut, Kg. Bukit Kuang, Kawasan Perindustrian Teluk Kalong dan Kg. Gong Limau.
Hasil penguatkuasaan ke atas premis-premis industri ini didapati tiada sebarang pelepasan asap hitam ke udara dari cerobong kelihatan dan tiada pencemaran habuk dari premis yang menjalankan aktiviti blasting.
Selain itu juga rondaan turut dilakukan di kawasan kampung-kampung dan taman-taman perumahan bagi memantau potensi pencemaran daripada aktiviti pembakaran terbuka dan aktiviti pelupusan haram buangan terjadual. Walau bagaimanapun tiada pembakaran terbuka dikesan dan tiada keadaan yang mencurigakan ditemui.
JAS Cawangan Kemaman sentiasa memohon orang ramai agar mengemukakan maklumat terperinci kejadian pencemaran dan aktiviti yang mencurigakan di bawah bidang kuasa Jabatan ini dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di portal aduan https://eaduan.doe.gov.my atau
[email protected] untuk tindakan lanjut pihak JAS.