Penerangan
19 Julai 2021, Kuala Terengganu, Terengganu. Hari ini JAS Terengganu telah menerima aduan dari orang awam berhubung kejadian pencemaran sungai di daerah Hulu Terengganu yang dilaporkan berpunca daripada sebuah kilang kelapa sawit. Aduan diterima melalui Sistem e-Aduan dan Facebook YB Menteri Alam Sekitar dan Air.
Sepasukan pegawai penguatkuasa telah bergegas ke lokasi aduan bagi menyiasat aduan. Siasatan dilakukan dengan menggunakan alat pengukuran kualiti air secara in-situ iaitu alat multiparameter YSI dan juga melalui pemerhatian secara visual.
Hasil siasatan mendapati keadaan sungai adalah normal dan tiada pelepasan efluen dan enapcemar dikesan. Keputusan pengukuran kualiti air sungai di lokasi yang diadu menunjukkan oksigen terlarut berada dalam kategori kelas II.
Siasatan susulan ke atas premis yang diadu juga mendapati tiada pelepasan efluen di takat pelepasan dan tiada pintasan efluen dari kolam pengolahan efluen.
Walau bagaimanapun JAS Terengganu akan terus memantau pematuhan premis yang diadu dari masa ke semasa di samping laporan mingguan yang perlu dikemukakan oleh pihak premis kepada JAS Terengganu.