Penerangan
17 Julai 2021, Kuala Terengganu, Terengganu. Pegawai penguatkuasa JAS Terengganu terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab meronda dan memantau premis industri bagi tujuan mencegah pencemaran.
Kawasan rondaan dan pemantauan hari ini tertumpu di daerah Kuala Terengganu dan Marang yang melibatkan kawasan industri, kawasan penempatan di kampung dan taman perumahan dan tapak pelupusan sampah.
Hasil rondaan dan pemantauan ini, tiada kes-kes yang mencurigakan ditemui, tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan dan tiada pelepasan asap hitam dan habuk yang kelihatan berdasarkan pemerhatian visual yang dilakukan di premis-premis yang mempunyai cerobong dan alat kawalan pencemaran udara.
JAS Terengganu sentiasa berharap punca-punca pencemaran di negeri ini sentiasa terkawal dengan kerjasama semua pihak dalam memastikan kesejahteraan alam sekitar terus terjamin pada setiap masa.