Penerangan
15 Jun 2021- Kemaman, Terengganu. Pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu Cawangan Kemaman terus menjalankan rondaan dan memantau premis industri di Kawasan Perindustrian Kertih, juga dikenali sebagai Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (Kertih Integrated Petrochemical Complex).
Rondaan dan pemantauan ini juga turut dijalankan di Taman Industri Polimer, Kerteh yang juga dikenali sebagai “Kerteh Biopolymer Park” bagi mengesan punca sebenar bau busuk yang diadu oleh penduduk di Mukim Paka, Daerah Dungun.
Fokus rondaan dan pemantauan ini termasuk di kawasan sekitar perumahan pengadu iaitu lokasi yang paling dekat dan bersempadan dengan Kawasan Perindustrian Kertih dan Taman Industri Polimer Kertih. Selain itu, beberapa lokasi lain turut dironda dan dipantau sebagai perbandingan sejauh mana penyebaran bau ini kepada penempatan yang terlibat.
Di samping menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis yang berpotensi menghasilkan pencemaran bau, pasukan penguatkuasa JAS Negeri Terengganu akan terus meronda dan memantau aduan pencemaran bau ini sehingga selesai bagi memastikan kesejahteraan rakyat di Negeri Terengganu khususnya di daerah terlibat bebas dari masalah pencemaran ini. Kerjasama pelbagai pihak amat-amat diharapkan supaya aduan ini dapat diselesaikan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan