Penerangan
13 Jun 2021- Kemaman, Terengganu. Dua (2) pasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu Cawangan Kemaman dan satu (1) pasukan penguatkuasa dari JAS Negeri Terengganu terus komited menjalankan rondaan dan pemantauan serta menjalankan siasatan aduan pencemaran mengikut Arahan Bertugas oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu dalam tempoh PKP 3.0.
Rondaan mencegah pembakaran terbuka dan pemantauan premis industri telah dijalankan di Bandar Chukai, Kg. Bukit Mentok, Kg. Binjai, Kg. Mak Lagam dan Kawasan Perindustrian Jakar. Hasil rondaan dan pemantauan ini didapati tiada aktiviti yang mencurigakan dikesan dan tiada pembakaran terbuka ditemui. Rondaan dan pemantauan ini juga turut melibatkan taman perumahan dan perkampungan di sepanjang laluan tersebut.
Siasatan aduan pembakaran terbuka turut dilakukan. Aduan ini didapati berasas berdasarkan kesan pembakaran yang ditemui. Bunting dan risalah larangan pembakaran terbuka telah dipasang dan diedarkan kepada penduduk terbabit supaya aktiviti ini terus dihentikan.
Di samping itu juga pemantauan dan pengawasan pencemaran bau telah dijalankan berikutan aduan yang diterima daripada penduduk taman perumahan yang berada di Mukim Paka daerah Dungun. Pengadu turut hadir di lokasi pemantauan dan pengawasan bau yang dijalankan bagi menjelaskan keadaan sebenar punca pencemaran bau tersebut.