Penerangan
5 Jun 2021- Kemaman, Terengganu. “TOTAL LOCKDOWN” telah memasuki hari kelima di daerah Kemaman. Pegawai Penguatkuasa terus komited menjalankan tugas mengikut Arahan Bertugas Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu dalam tempoh ini.
Rondaan dan pemantauan ini telah difokuskan di premis-premis industri yang berada di Kawasan Perindustrian Kertih, Kawasan Perindustrian Teluk Kalung termasuk kawasan-kawasan penempatan yang berada di sepanjang laluan utama jalanraya yang menghubungkan kedua-dua kawasan perindustrian ini.
Hasil rondaan dan pemantauan ini, tiada aktiviti mencurigakan ditemui, tiada masalah pencemaran kualiti udara dan air dikesan dan tiada aktiviti pembakaran terbuka ditemui. Beberapa kawasan terdapat longgokan daun-daun kayu hasil pembersihan kawasan dan banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang bagi tujuan mencegah aktiviti pembakaran dilakukan.
JAS Terengganu Cawangan Kemaman sentiasa memantau semua punca pencemaran di daerah ini bukan sahaja melalui rondaan dan pemantauan di lapangan, malah pemantauan melalui sistem pemantauan pencemaran secara online yang berhubung secara terus dari kilang kepada Jabatan Alam Sekitar turut dijalankan.