Penerangan
1 Jun 2021-Kuala Terengganu, Terengganu. Pegawai Penguatkuasa JAS Terengganu telah menjalankan rondaan dan pemantauan mengikut Arahan Bertugas Dalam Tempoh Total Lockdown Di Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu yang bermula hari ini. Komitmen dan tanggungjawab ini dilaksanakan bagi memastikan punca pencemaran yang tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan dan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dapat dipantau.
Rondaan dan pemantauan pada hari ini melibatkan kawasan daerah Kuala Terengganu iaitu di Pantai Pak Andak, Chendering, Kawasan Perindustrian Chendering, Kg. Bukit, Kg.Bukit Besar, Kg.Bukit Kecil, di sekitar kawasan Sungai Hiliran dan Kg. Losong serta di Waterfront, Sungai Terengganu. Hasil rondaan, pemantauan dan pemerhatian ini mendapati tiada pencemaran bebola tar (tar ball) dikesan di pantai Pak Andak, Chendering. Tiada pencemaran disebabkan pelepasan minyak dan buangan terjadual di kesan di Sungai Hiliran dan Sungai Terengganu.
Pada sepanjang laluan ini juga pegawai penguatkuasa telah memasang sepanduk larangan pembakaran terbuka pada longgokan kayu di Kg.Pantai Pak Andak. Tindakan pencegahan dengan amaran keras ini diharap tidak diteruskan oleh sesiapa sahaja yang terlibat.
Pegawai penguatkuasa JAS Terengganu akan terus menjalankan rondaan dan pemantauan di lapangan dan juga melalui sistem online Jabatan ke atas industri-industri yang beroperasi di negeri ini dalam tempoh total lockdown yang bermula hari ini dan dijangka tamat pada 14 Jun 2021.