Penerangan
PENGGUNAAN DRONE BAGI MEMANTAU KES ADUAN PENCEMARAN ASAP DI KAWASAN GONG BADAK
24 Jun 2021, Kuala Terengganu, Terengganu. Pegawai penguatkuasa JAS Terengganu telah menjalankan rondaan di lokasi kejadian dengan menggunakan drone bagi mengenalpasti lokasi sebenar punca pencemaran asap yang didakwa oleh penduduk di kawasan Gong Badak, daerah Kuala Nerus. Hasil pemantauan ini, tiada punca asap dikesan berlaku di kawasan hutan di sekitar kawasan Gong Badak.
Di sepanjang rondaan dan pemantauan dari kawasan Gong Badak, Bandar Baru Kuala Nerus, Padang Nenas dan Kg. Padang Kemunting terdapat kesan baru kebakaran hutan belukar yang telah padam. Kemungkinan lokasi ini yang menjadi punca aduan asap yang diadu oleh penduduk terlibat. Beberapa lokasi kebakaran di kawasan kediaman dan aktiviti penanaman oleh pekebun kecil juga telah ditemui.
Selain itu, siasatan susulan juga dilakukan di Kawasan Perindustrian Gong Badak iaitu lokasi pembakaran yang dikesan pada 12 Jun 2021 lalu. Lokasi ini juga telah kenalpasti sebagai kawasan pembuangan sampah haram. Kes ini telah dipanjangkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Siasatan hari ini mendapati tiada pembakaran terbuka dikesan. Walau bagaimanapun longgokan sampah (baju bundle) masih banyak dibuang di lokasi ini. Banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang. Hasil penemuan ini juga akan dipanjangkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk tindakan lanjut.