Penerangan
19 Jun 2021-Kuala Terengganu, Terengganu. Pegawai penguatkuasa terus komited untuk memfokuskan tugas meronda dan mencegah pencemaran alam sekitar selaras dengan mandat yang diberikan sebagai Jabatan yang menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Hari ini, selain rondaan mencegah pembakaran terbuka dan memantau premis industri di daerah Kuala Nerus dan Setiu , siasatan aduan hotspot juga turut dilakukan. Lokasi hotspot merupakan tanah milik pekebun kecil yang telah menjalankan kerja-kerja pembersihan untuk tanaman jagung.
Hasil rondaan mencegah pembakaran terbuka dan memantau premis industri, tiada pembakaran terbuka ditemui dan tiada aktiviti yang mencurigakan dikesan.
Semasa rondaan terdapat beberapa kawasan yang berpotensi aktiviti pembakaran terbuka dilakukan oleh individu yang menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan. Bunting larangan pembakaran terbuka telah dipasang di lokasi berkenaan sebagai peringatan supaya aktiviti ini tidak diteruskan.