Penerangan
2 Jun 2021-Kuala Terengganu, Terengganu. Dua (2) pasukan penguatkuasa JAS Terengganu telah menjalankan rondaan dan pemantauan mengikut Arahan Bertugas dalam tempoh Total Lockdown yang bermula pada 1 Jun 2021 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kuala Terengganu yang telah berkuatkuasa sejak 30 Mei 2021 yang lalu . Komitmen dan tanggungjawab ini dilaksanakan bagi memastikan punca pencemaran yang tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar dan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sentiasa dipantau.
Rondaan dan pemantauan pada hari ini di daerah Kuala Terengganu yang telah diisytiharkan sebagai kawasan PKPD melibatkan Kg. Losong, Kg Sekati, Kg.Kepong, Kg.Gelugor, Kg. Atas Tol, Kg.Surau Panjang, Kg Bukit dan Kawasan Perindustrian Chendering. Tiada sebarang aktiviti pembakaran terbuka dikesan dan tiada keadaan yang mencurigakan ditemui sepanjang laluan rondaan dan pemantauan tersebut yang juga melibatkan jalan utama dan juga jalan di kampung-kampung.
Di daerah Marang , pasukan penguatkuasa menjalankan rondaan dan pemantauan melibatkan Kg Tertak Batu, Kg. Bukit Payung, Kg. Kelulut, Kawasan Perindustrian Bukit Kor dan Kg.Pengkalan Berangan. Hasil rondaan dan pemantauan yang melibatkan keseluruhan kawasan ini serta jalan-jalan utama dan jalan-jalan kampung didapati tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan.
Kedua-dua pasukan penguatkuasa ini juga telah menjalankan siasatan aduan pembakaran terbuka. Aduan yang diterima adalah berasas di mana terdapat kesan pembakaran terbuka ke atas sisa sampah sarap rumah kediaman. Amaran keras dan risalan larangan pembakaran terbuka telah diberikan kepada penghuni kediaman terbabit dan tanda amaran juga telah diletakkan dilokasi pembakaran yang telah dipadamkan.
Pasukan penguatkuasa juga telah menjalankan pemantauan ke atas premis berisiko bagi memastikan alat kawalan pencemaran udara berada dalam keadaan baik dan berfungsi. Tempat-tempat aktiviti penyelenggaraan dan pembaikian bot yang berpotensi menghasilkan minyak terpakai yang dikategorikan sebagai buangan terjadual di kawasan jeti pelancongan di Teluk Pasu turut diperiksa dan didapati tiada kerja-kerja penyelenggaraan di buat dan tiada sebarang tumpahan minyak dikesan.
Pegawai penguatkuasa JAS Terengganu akan terus menjalankan rondaan dan pemantauan di lapangan dan sentiasa bersiap siaga dalam memastikan punca-punca pencemaran dari operasi industri dan aktiviti pembakaran ini dapat dicegah dalam tempoh total lockdown ini.