Penerangan
JOHOR BAHRU, 15 April 2021 - Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah menjalankan siasatan hasil aduan orang awam berkaitan aktiviti pembakaran terbuka di kawasan berhampiran Le Grandier Golf, Senai.
Siasatan dan penguatkuasaan mendapati bahawa kawasan lapang itu telah dijadikan sebagai tapak bagi aktiviti pembuangan sampah haram yang terdiri daripada sisa pepejal industri oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Pemerhatian menyeluruh di kawasan tersebut mendapati bahawa tiada kewujudan sisa Buangan Terjadual atau Bahan Berbahaya yang diletakkkan/dibuang di kawasan tersebut.
Sewaktu siasatan dijalankan, tiada pembakaran terbuka yang berlaku, namun terdapat kesan kesan hitam berpunca daripada aktiviti pembakaran yang telah dilakukan sebelum ini. Aduan ini telah dipanjangkan kepada pihak SWCorp untuk tindakan selanjutnya.
Orang awam atau mana-mana individu adalah dilarang sama sekali untuk mencemarkan alam sekitar dengan apa jua cara kerana ini akan menyebabkan pencemaran yang lebih serius sekiranya tidak dikawal selain bakal menyebabkan ramai pihak terkesan dengan perbuatan tersebut. Sama-samalah kita menjaga alam sekitar yang telah dipinjamkan kepada kita.
‘Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama’