Penerangan
12 Jun 2021, IPOH - Rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka telah dijalankan oleh Seksyen Aduan Jabatan Alam Sekitar negeri Perak pada hari ini di sekitar Simpang Pulai.
Lokasi rondaan ditumpukan kepada premis-premis pembinaan yang berpotensi melakukan pembakaran terbuka pada bila-bila masa di sekitar kawasan Simpang Pulai dan Keramat Pulai. Walau bagaimanapun, hasil rondaan tidak menemui sebarang aktiviti pembakaran terbuka dilakukan di kawasan terbabit.
Premis industri dan pembinaan dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka bagi menjaga kualiti udara persekitaran. Pembakaran terbuka merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM 2000 bagi setiap longgokan pembakaran dan denda maksima RM 500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali.
Rondaan dan pemantauan adalah mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM.