Penerangan
22 Mei 2021-Kemaman, Terengganu. JAS Cawangan Kemaman terus menjalankan rondaan pada setiap cuti hujung minggu. Kesiap siagaan dan komitmen berterusan pasukan penguatkuasaan ini dalam menjalankan rondaan dan pemantauan adalah bertujuan untuk memastikan tiada aktiviti pembakaran terbuka dilakukan oleh orang awam, pihak industri, syarikat-syarikat pembinaan dan semua lapisan masyarakat di kawasan taman perumahan dan juga perkampungan. Operasi ini juga merupakan langkah pencegahan bagi mengelak aktiviti pembakaran terbuka dilakukan secara sewenang-wenangnya serta menganggu kualiti alam sekitar dan kesejahteraan orang awam.
Rondaan ini melibatkan kawasan di Bandar Chukai, Bukit Kuang, Teluk Kalong, Kijal, Kemasek, Kerteh, Kawasan Perindustrian Kerteh, Kg.Chabang, Kg. Air Jernih, Kg. Semayor, Kg. Bukit Anak Dara, Kg. Ibok dan Tapak Pelupusan Sampah di Kg. Mak Chili. Hasil rondaan ini mendapati tiada pembakaran terbuka ditemui.
Pasukan penguatkuasa telah mengesan bau yang kurang menyenangkan di kawasan kilang yang mengeluarkan produk Liquid Fertilizer di Kawasan Perindustrian Kertih. Pihak premis telah diberi amaran awal agar segera mengambil langkah segera bagi mengurangkan masalah bau tersebut. Tindakan susulan dan pemantauan berterusan akan dilakukan sehingga masalan bau ini selesai.
JAS Cawangan Kemaman akan terus menjalankan rondaan setiap hujung minggu dalam usaha mencegah dan mengawal punca pencemaran dari pelbagai industri yang beroperasi di daerah ini. Pasukan penguatkuasa menjalankan tugas mengikut Standard Of Operating Procedure (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan Arahan Bertugas Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berkuatkuasa sejak 12 Mei 2021 .