Penerangan
19 Mei 2021,(RABU) - Kepala Batas - Unit Pengawasan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang hari ini memberi taklimat secara maya berkenaan sistem Environmental Quality Monitoring Program (EQMP) kepada ahli Mesyuarat Pasukan Khas Menangani Isu Pencemaran Sungai dan Laut Negeri Pulau Pinang.
Bersama-sama dalam taklimat ini adalah Wakil Pejabat EXCO Alam Sekitar Dan Kebajikan Pulau Pinang, Timbalan Pengarah JPS Pulau Pinang, Jurutera Daerah JPS Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai, SPAN dan lain-lain agensi yang berkaitan.
Taklimat ini dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab. Tujuan taklimat ini adalah sebagai perkongsian berhubung dengan penggunaan sistem pemantauan kualiti air sungai dan marin yang digunapakai oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia dalam memantau Indeks Kualiti Air (IKA) sungai-sungai utama dan stesen pemantauan kualiti air marin di negara kita.
Di Pulau Pinang, JAS mempunyai 58 stesen manual pengawasan kualiti sungai, 2 stesen automatik pengawasan kualiti air sungai dan 33 stesen manual untuk pengawasan kualiti air marin.
Data-data persampelan analisis Insitu dan data pengukuran makmal pada setiap stesen pengawasan air sungai dan marin JAS seluruh Malaysia akan diselaras oleh Environment Data Centre (EDC) yang berpusat di Jabatan Alam Sekitar Putrajaya.
Melalui sistem ini data kualiti air sungai dan marin yang dipantau secara berkala, direkod dan tren perubahan kualiti dan kelas air sungai dan marin dapat dikenalpasti. Maklumat ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pengawasan serta perancangan pembangunan.
Sistem ini juga akan mengeluarkan amaran tentang sebarang perubahan drastik pada kriteria kualiti air sungai dan marin terus ke telefon serta email pegawai-pegawai berkaitan. Ini supaya tindakan pantas dapat dijalankan berdasarkan kepada makumat yang dihantar.