Penerangan
28 Mei 2021- Kuala Terengganu, Terengganu. Pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu terus menjalankan amanah sebagai pasukan yang menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada cuti hujung minggu hari ini demi kelangsungan dalam memastikan semua lapisan masyarakat khususnya di Negeri Terengganu ini sentiasa berada dalam keadaan yang selamat dan sejahtera dari gangguan pencemaran alam sekitar.
Rondaan dan pemantauan oleh pegawai penguatkuasa hari ini melibatkan siasatan aduan pembakaran terbuka di Taman Teluk Lipat, daerah Dungun. Hasil siasatan pegawai penguatkuasa telah mengesan pembakaran terbuka ke atas ranting kayu dan daun kering di kawasan Padang Awam berhampiran kawasan Taman Perumahan ini. Banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang di lokasi aduan tersebut bagi memberi amaran awal agar sesiapa sahaja yang terlibat tidak meneruskan aktiviti pembakaran ini.
Selain dari siasatan aduan, rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) turut dilakukan di kawasan sekitar Kuala Terengganu dan Kawasan Perindustrian Batu 7, daerah Dungun. Rondaan OMPT ini turut melibatkan laluan di sepanjang daerah Dungun, Bukit Besi, Ajil dan Bukit Payung. Hasil rondaan ini tiada pembakaran terbuka ditemui dan tiada keadaan yang mencurigakan dikesan. Pemeriksaan ke atas infrastruktur tanah gambut juga turut dilakukan dan semuanya berada dalam keadaan baik dan berfungsi.
JAS Terengganu akan terus menjalankan rondaan dan pemantauan ke atas punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya bagi mencegah dan mengawal aktiviti pencemaran yang berpotensi dilakukan oleh sesiapa sahaja yang tidak menghargai akan kepentingan pemeliharaan alam sekitar untuk kehidupan masa kini dan akan datang.