Penerangan
6 Mei 2021, Kuala Terengganu, Terengganu. Hari ini Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu telah dijemput oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) bagi menyampaikan ceramah dalam Kursus Pengurusan Sisa Buangan Terjadual yang diadakan di Dewan JPNT, Batu Enam, Kuala Nerus, Terengganu yang dihadiri seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JPNT dan pekerja Sektor Perhutanan/ Pembalakan.
Ketua Unit Pendidikan Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu Puan Zaleha binti Abdullah telah hadir menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pengendalian Dan Pelupusan Buangan Terjadual Di Bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005’. Dalam ceramah ini, JAS Terengganu telah menekankan kepentingan kerjasama dan komitmen menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu dalam menangani perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan sisa-sisa buangan terjadual oleh pengusaha-pengusaha yang terlibat dalam sektor pembalakan ini.
Menurut JPNT, objektif kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan sisa buangan terjadual mengikut peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar semasa menjalankan aktiviti pengusahasilan di lapangan, memberi kefahaman berkenaan pengendalian bahan buangan terjadual menurut kaedah yang betul dan selamat serta meningkatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan keselamatan semasa menjalankan tugas.