Penerangan
6 Mei 2021, TANJUNG TUALANG – Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak dalam satu operasi bersepadu telah membuat serbuan ke atas premis yang menjalankan peleburan logam secara haram di Tanjung Tualang selepas menerima aduan daripada orang ramai.
Pemeriksaan yang diketuai oleh Pengarah JAS Perak, Haji Rosli bin Zul mendapati premis telah ditinggalkan kosong oleh pemilik dan pekerja premis tersebut namun peralatan masih banyak ditemui di dalam premis tersebut.
Hasil pemeriksaan dalam operasi ini juga mendapati premis menjalankan aktiviti-aktiviti peleburan berdasarkan kepada peralatan-peralatan yang ditinggalkan termasuklah 2 ruang pembakaran untuk proses peleburan logam. Alat kawalan pencemaran juga didapati tidak disediakan dalam premis tersebut.
Persampelan ke atas sisa bahan yang telah diproses telah diambil oleh penguatkuasa JAS Perak dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysiap Negeri Perak untuk dianalisa.
JAS Perak akan mengambil tindakan perundangan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sekiranya hasil keputusan analisa sampel tersebut dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual ke atas pemilik tanah tersebut.
Turut serta di dalam operasi bersepadu ini termasuklah wakil Pejabat Exco Alam Sekitar Negeri Perak, Pejabat YB DUN Tanjung Tualang, Pejabat Daerah dan Tanah Batu Gajah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Perak, Balai Polis Tanjung Tualang dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.