Penerangan
23 April 2021 – Kuala Terengganu, Terengganu. Hari ini, cuti hujung minggu di Negeri Terengganu, Pasukan Penguatkuasa JAS Terengganu terus menjalankan rondaan OPERASI MENCEGAH PEMBAKARAN TERBUKA (OMPT) dan memantau premis-premis industri yang berpotensi memberi kesan yang tidak normal kepada kualiti udara dan kualiti air. Di samping itu, rondaan juga bertujuan untuk memantau dan mencegah aktiviti pelupusan haram buangan terjadual oleh premis-premis industri yang tidak bertanggungjawab.
Rondaan dan pemantauan ini melibatkan Kawasan Perindustrian Cacar di Paka, Kuala Dungun, Rantau Abang, di daerah Dungun dan beberapa laluan di daerah Marang. Rondaan juga meliputi Kawasan Perindustrian Chendering, Seberang Takir dan Mengabang Telipot di daerah Kuala Terengganu dan kawasan Merang serta Lembah Bidong di daerah Setiu. Secara keseluruhan kawasan rondaan ini tiada aktiviti yang mencurigakan dikesan dan tiada aktiviti pembakaran ditemui.
Pasukan penguatkuasa juga turut menjalankan siasatan aduan di Paka, daerah Dungun dan hasil siasatan mendapati aduan tidak berasas. Hasil siasatan aduan di Kg. Merang, daerah Setiu telah menemui longgokan kayu yang masih berasap dan tindakan lanjut akan diambil bagi mendapatkan maklumat pemilikan tanah sebelum tindakan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diambil. Di samping itu juga aduan di Kg Mengabang Panjang, Merang menemui kesan rumput terbakar di tepi jalan lokasi tersebut. Beberapa kawasan turut dijumpai longgokan kayu-kayu hasil pembersihan hutan. Tindakan pencegahan diambil dengan memasang banner larangan pembakaran terbuka telah dilakukan oleh pasukan penguatkuasa.
JAS Terengganu sentiasa komited melakukan rondaan dan pemantauan secara berterusan termasuk pada hari cuti hujung minggu dan cuti umum bagi mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka dan berharap masyarakat semakin sedar impak dan kesannya kepada kesejahteraan hidup yang berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka ini dan juga punca-punca pencemaran yang tidak dikawal kepada persekitaran dan orang awam.