Penerangan
24 April 2021 – Kuala Terengganu, Terengganu. Pasukan Penguatkuasa JAS Terengganu terus komited menjalankan rondaan mencegah pembakaran terbuka, memantau industri-industri yang menjadi punca pencemar kepada kualiti alam sekeliling dan juga memantau kawasan persisiran pantai bagi memastikan tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku tumpahan minyak dan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Rondaan dan pemantauan pada hari ini telah melibatkan tiga (3) daerah iaitu Kuala Terengganu, Setiu dan Besut. Hasil rondaan dan pemantauan ini mendapati tiada aktiviti yang mencurigakan dikesan dan tiada aktiviti pembakaran terbuka ditemui. Manakala pemantauan di kawasan persisiran pantai mendapati tiada kesan tumpahan minyak dan tiada pencemaran bebola tar dijumpai.
Hasil rondaan dan pemantauan ini juga telah menemui longgokan kayu-kayu hasil pembersihan kawasan. Tindakan pencegahan diambil dengan memasang banner larangan pembakaran terbuka di lokasi berkenaan oleh pasukan penguatkuasa.
JAS Negeri Terengganu akan terus komited menjalankan amanah dan tanggungjawab serta bidang kuasa yang telah termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. JAS Terengganu juga turut menyeru orang awam dan pihak industri agar sama-sama menjaga alam sekitar untuk generasi masa kini dan juga akan datang. Dalam mencapai tujuan ini setiap rakyat negeri Terengganu harus mempunyai prinsip dan pegangan bahawa “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” demi memastikan negeri ini sentiasa dalam keadaan yang sejahtera dan aman.