Penerangan
1 April 2021- Kuala Terengganu, Terengganu. Hari ini JAS Terengganu telah mengadakan mesyuarat bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Terengganu. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Encik Ramli bin Abd. Rahman, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu.
Mesyuarat ini diadakan sebagai langkah proaktif JAS Terengganu dalam menguar-uarkan kepada PBT bahawa JAS sedang membangunkan Sistem Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik yang memfokuskan kepada 6 item kawalan iaitu televisyen,peti sejuk, penghawa dingin, mesin basuh, komputer peribadi dan telefon bimbit. Pembangunan sistem ini bertujuan untuk memastikan pengurusan, pengendalian dan pelupusan e-waste dilaksanakan secara environmentally sound management (ESM).
Dalam mengukuhkan pelaksanaan sistem pengurusan e-waste ini, JAS sedang berusaha memperkenalkan lebih banyak pusat-pusat pengumpulan baharu khususnya di Negeri ini. Usaha ini juga adalah selaras dengan inisiatif Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) yang mengumumkan penetapan sabtu terakhir setiap bulan sebagai Hari Pengumpulan E-Waste serta dalam menyediakan perkhidmatan dan medium terbaik kepada orang awam untuk menghantar e-waste ke tempat yang betul.