Penerangan
5 Mac 2021- Kuala Terengganu, Terengganu. Berikutan pemakluman awal mengenai cuaca panas kering dijangka berlanjutan sehingga pertengahan Mac 2021, Pasukan Penguatkuasa JAS Terengganu sentiasa bersiapsiaga dalam memastikan rondaan OMPT dilaksanakan walaupun pada cuti hujung minggu.
Dengan berpandukan kepada rekod dan pengalaman tahun- tahun lepas, pasukan penguatkuasa hari ini telah menjalankan rondaan OMPT di kawasan yang kerap kali berlakunya aktiviti pembakaran terbuka yang melibatkan beberapa kawasan di sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut. Rondaan di empat (4) daerah ini mendapati tiada aktiviti pembakaran terbuka ditemui. Tiada kes yang mencurigakan dikesan di sepanjang laluan ini.
Pasukan penguatkuasa turut menjalankan siasatan aduan di daerah Setiu dan didapati aduan ini adalah berasas berdasarkan penemuan kesan pembakaran sisa pokok, ranting dan sampah di dalam skala kecil. Sepanduk “Banner” larangan pembakaran terbuka telah dipasang di kawasan tersebut termasuk kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti ini.
Pasukan Penguatkuasa JAS Terengganu juga turut memantau keadaan Tapak Pelupusan Sampah Paya Rawa di daerah Besut. Hasil pemantauan ini tiada pembakaran terbuka dikesan dan tiada aktiviti mencurigakan ditemui. Pemantauan ke atas infrastruktur tanah gambut iaitu check dam juga dibuat dan didapati infrastruktur ini berada dalam keadaan baik.