Penerangan
OPERASI BERSEPADU (OPS GERAK) JABATAN ALAM SEKITAR PERLIS BERSAMA POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) PADANG BESAR PERLIS.
9 Mac 2021, Perlis - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis telah menjalankan Ops Gerak bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Padang Besar Perlis di KM 15, Jalan Kangar – Padang Besar bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Seramai 7 anggota polis dan 7 anggota JAS yang turut serta dalam operasi ini.
Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan penguatkuasaan bagi pematuhan kawalan pelepasan daripada enjin diesel, petrol dan bunyi bising yang meliputi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.
Sebanyak 85 buah kenderaan pelbagai jenis telah melalui pemeriksaan visual dan daripada jumlah itu sebanyak 11 buah kenderaan telah diuji. Daripada jumlah yang diuji, tiga (3) kompaun di bawah Peraturan 11(1), Peraturan - Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996 dan lima (5) Notis Arahan Uji Semula Seksyen 48A di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, telah dikeluarkan. Operasi berakhir jam 1.00 tengah hari. Pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 akan terus dipergiatkan agar pencemaran terhadap alam sekitar dapat dibendung bagi menjaga kelestarian alam sekitar.