Penerangan
26 Januari 2021, Muar - Susulan aduan awam yang diterima, pasukan penyiasat Jabatan Alam Sekitar Cawangan Muar telah menjalankan siasatan terhadap kes pembakaran terbuka di tiga lokasi yang berlainan iaitu satu kes di Daerah Segamat yang melibatkan tapak pelupusan haram dan dua lagi kes di Daerah Muar melibatkan aktiviti pembersihan tanah.
Cuaca panas dan kering ketika ini telah mengakibatkan pembakaran terbuka sukar untuk dikawal dan dipadamkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Jabatan ingin mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
Mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727