Penerangan
3 Februari 2021, SEGARI - Sidang media Ops Gempur Kuari 1.0 telah diadakan pada sebelah petang hari ini di Balai Raya Sungai Batu, Segari. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Mohd Akmal Bin Kamarudin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak. Turut hadir di majlis sidang media adalah Pengarah JAS Perak, Haji Rosli Bin Zul, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Perak dan wakil Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
.
Ops Gempur Kuari yang bermula 2 hingga 3 Februari 2021 telah menghasilkan 62 pelanggaran syarat kelulusan EIA, 42 kompaun bernilai RM84,000.00, 12 arahan di lapangan, 15 notis arahan, 13 kertas siasatan dan 2 perintah berhenti kerja. Dalam Ops ini, sebanyak 8 pasukan penguatkuasa JAS, 3 pasukan JMG dan pasukan Jabatan Perhutanan telah terlibat yang mana pasukan penguatkuasa JAS seramai 20 orang telah menjalankan pemeriksaan secara serentak di 14 projek terdiri 11 kuari, 2 perumahan dan 1 pelabuhan di Manjung.
.
Ops Gempur Kuari ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan memberi mesej kepada semua pihak bahawa Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi berkaitan serius dan komited dalam mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah alam sekitar khususnya pihak pemaju projek bagi memastikan pihak pemaju menjalankan operasi dan kerja-kerja tanah mengikut kehendak perundangan yang telah ditetapkan dan memastikan kepentingan alam sekitar diberi perhatian serius oleh pihak-pihak berkenaan. Ingin ditegaskan bahawa mana-mana pihak yang didapati melanggar kehendak perundangan alam sekitar dari operasi ini akan dipantau dengan lebih dekat lagi oleh pihak JAS dan dikehendaki melaksanakan tindakan pembaikan dengan kadar segera.