Penerangan
Ops Lembangan Selangor 2020 merupakan satu operasi bersepadu rentas sempadan dalam melaksanakan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS,1974) terhadap punca-punca pencemar yang terletak di hulu takat pengambilan air. Operasi ini telah dilaksanakan dari 30 Oktober sehingga 15 November 2020 dan telah diaktifkan oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Alam Sekitar Ibu Pejabat di Putrajaya pada 30 Oktober 2020. Ops Lembangan Selangor 2020 melibatkan JAS Negeri Selangor, JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL), JAS Negeri Sembilan dan JAS Ibu Pejabat Putrajaya. Objektif Operasi ini adalah untuk memantapkan strategi penguatkuasaan JAS dengan menyasarkan kawasan-kawasan spesifik, menunjukkan kesungguhan JAS dalam melaksanakan penguatkuasaan dan memperlihatkan keberadaan (visibility) pegawai penguatkuasa JAS di kalangan pemain industri khususnya dan masyarakat umumnya. Ops Lembangan Selangor 2020 telah memfokuskan penguatkuasaan terhadap 2 buah lembangan sungai iaitu Lembangan Sungai Selangor dan Lembangan Sungai Semenyih. Penguatkuasaan telah dijalankan secara lawatan fizikal mengikut SOP ditetapkan oleh MKN/KKM ke premis-premis yang disasarkan dan juga pengawasan udara melalui pemantauan drone. Bagi pelaksanaan operasi ini, JAS WPKL telah menggerakkan 5 pasukan sehari sepanjang tempoh operasi yang ditetapkan iaitu empat 4 pasukan penguatkuasaan ke premis dan 1 pasukan pemantauan drone. Dalam hal ini, JAS WPKL telah pun menjalankan siasatan terhadap 73 buah premis dengan 107 bilangan siasatan. Selain itu, sebanyak 11 notis arahan dan 27 tawaran kompaun telah dikenakan terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sepanjang Ops Lembangan Selangor 2020 dijalankan.