Penerangan
OPS GEMPUR NEGERI KEDAH 2020 SIRI 1/2020
23 Julai 2020, Kedah – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah telah melaksanakan Ops Gempur Negeri Kedah 2020 Siri 1/2020 ke atas beberapa premis di sekitar daerah Kota Setar dan Pendang selama 3 hari bermula 20 hingga 22 Julai 2020. Seramai 7 pasukan penguatkuasa dan 1 pasukan drone telah digerakkan dengan melibatkan seramai 33 anggota penguatkuasa JAS Negeri Kedah dan JAS Cawangan.
Ops Gempur ini telah dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Ketua Ops Gempur iaitu Encik Che Mahamud Bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS Negeri Kedah. Seterusnya pelancaran dan pelepasan telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah JAS Negeri Kedah iaitu En Norazizi Bin Adinan.
Tujuan Ops Gempur ini dijalankan adalah untuk mencegah berlakunya kejadian pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar dan kesejahteraan rakyat. Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan dibawahnya. Pihak pemain industri adalah digesa supaya meningkatkan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan dibawahnya serta memastikan kelestarian alam sekitar kekal dan berterusan.