Penerangan
10 JULAI 2020, PASIR GUDANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengadakan Ops Gempur yang menyasarkan semua premis kilang yang beroperasi di sepanjang Sungai Selangkah Pasir Gudang, Johor. Ini susulan aduan bau yang kuat sehingga pedih mata dan sesak nafas oleh penduduk yang tinggal berhampiran kawasan tersebut yang diterima JAS Johor.
Operasi dijalankan selama 3 hari bermula 6 hingga 8 Julai 2020 melibatkan 42 anggota penguatkuasa dari Pejabat JAS di Johor Bahru dan Pejabat-pejabat JAS Cawangan. Melalui operasi yang diadakan sebanyak 85 pemeriksaan telah dibuat dimana 2 penahanan kelengkapan operasi, 93 kompaun dan 26 Notis Arahan telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Operasi seperti ini akan diadakan secara berterusan dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan kesalahan. Kes pencemaran Sungai Kim-Kim dan insiden gangguan kesihatan pelajar sekolah di Pasir Gudang pada tahun 2019 merupakan satu tragedi yang tidak seharusnya berulang lagi.