Penerangan
18 Jun 2020, Kluang: Satu majlis dialog anjuran Pejabat YB Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor bersama agensi serta masyarakat orang asli berkenaan isu pencemaran Sungai Sembrong telah diadakan pada 18 Jun 2020 bertempat di Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli Kluang.
Taklimat kes telah disampaikan sendiri oleh Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd Famey Yusoff dan wakil dari Jabatan Perikanan Johor. YB Exco yang turut hadir juga memberikan ucapan dan penjelasan berkenaan kes pencemaran yang berlaku.
Maklumbalas oleh JAS, Jabatan Perikanan dan YB Exco sendiri telah diberikan terhadap soalan yang diajukan terutamanya berkaitan insiden ikan mati akibat pencemaran yang berlaku yang menjejaskan punca pendapatan harian masyarakat orang asli. Beberapa langkah penyelesaian yang dicadangkan termasuk membekalkan benih ikan dan penubuhan skuad pemantau sungai. Kerjasama masyarakat orang asli juga diminta agar lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar dan segera menyalurkan maklumat lebih awal jika berlaku lagi kes seperti ini pada masa akan datang.