Pada 14 Februari 2020, telah diadakan satu Majlis Penyerahan Projek Pusat Kecemerlangan Pengurusan Bahan Berbahaya dan Industri Hijau di Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka oleh YBhg Dato’ Ir Nor Hisham Bin Mohd Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia kepada YBrs Puan Norlin Binti Jaafar, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia.
Majlis ini turut dihadiri oleh pegawai pengurusan tertinggi JAS iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs Encik Wan Abdul Latiff Bin Wan Jaffar dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), YBrs Dr Puan Norhazni Mat Sari. Majlis ini telah dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Bahan Berbahaya, Unit Industri Hijau dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka.
Pada asalnya tempat ini merupakan Pusat Pengujian Asap Kenderaan JAS di Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka namun telah dihentikan fungsinya pada tahun 2013. Susulan itu, di bawah Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), pusat tersebut telah dinaiktaraf kepada Pusat Kecemerlangan Pengurusan Bahan Berbahaya dan Industri Hijau di Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka. Ini adalah salah satu inisiatif JAS bagi mengoptimumkan penggunaan aset tersebut.
Objektif penubuhan pusat ini adalah sebagai:
- Pusat pengumpulan maklumat dan pembelajaran kepada pemain industri, pegawai kerajaan dan pegawai JAS berkaitan Pengurusan Buangan Terjadual dan Program penerapan industri hijau;
- Pusat latihan berkaitan pengendalian buangan terjadual seperti mock-trial untuk latihan intensif kemalangan dan tumpahan yang melibatkan buangan terjadual dan penyiasatan kes-kes pelupusan haram;
iii. Pusat koleksi sampel-sampel buangan terjadual yang dihasilkan oleh industri-industri di Malaysia sebagai rujukan pembelajaran pihak pengajian tinggi dan pihak pemegang taruh;
- Pusat koleksi kes-kes rujukan pengurusan buangan terjadual yang diuruskan di Malaysia seperti buangan terjadual yang diuruskan di bawah Pengurusan Khas Buangan Terjadual;
- Pusat pembelajaran penggunaan peralatan teknikal persampelan dan pemantauan kes-kes yang melibatkan buangan terjadual;
- Pusat rujukan koleksi teknologi proses untuk pemprosesan buangan terjadual yang efektif dan efisien serta setara dengan negara-negara maju seperti teknologi pemerolehan kembali buangan terjadual dan co-processing buangan terjadual di kilang simen; dan
vii. Tempat penstoran dan penyimpanan bahan eksibit bagi kes-kes pengendalian dan pelupusan haram buangan terjadual bagi kawasan Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia.