Penerangan
30 Mac 2020, KULAI: Susulan aduan pelepasan efluen hitam dari sebuah kilang kelapa sawit yang dikhuatiri menjejaskan bekalan loji rawatan air Semangar, pegawai JAS Johor telah menjalankan siasatan ke tempat kejadian. Siasatan turut dibuat oleh pihak BAKAJ dan SAJ RANHILL pada pagi hari kejadian. Siasatan JAS Johor mendapati tiada sebarang pelepasan efluen ketika siasatan dijalankan pada waktu petang tetapi masih terdapat kesan pelepasan efluen berwarna hitam hasil pelepasan waktu pagi dari kilang tersebut. Sampel air yang diambil menunjukkan bacaan ammonia yang tinggi iaitu 44ppm pada waktu pagi dan 77 ppm pada waktu petang.
Arahan serta merta telah dikeluarkan kepada kilang untuk menghentikan operasi kilang dan lesen kilang akan digantung. Satu tawaran kompaun juga telah dikeluarkan kerana didapati melakukan pembakaran terbuka sisa tandan sawit semasa siasatan dijalankan.
JAS Johor ingin mengingatkan kepada semua kilang di Johor yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ini untuk memastikan pematuhan sepenuhnya kepada Akta Kualiti Alam Sekitar dan Peraturan-peraturan di bawahnya. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar.